Jumaat, 15 April 2011

Asrama ku (2)

Sebenarnya bukan aku nak menghina cikgu Anuar tapi nak menunjukkan ketegasan beliau hingga semua orang takut dan malu padanya. Cikgu Anuar itu memang baik dan mesra orangnya sebab setiap bulan kami mesti berjumpa dengannya untuk memohon pulang ke kampung.

Tahun berikutnya aku di tingkatan 2. Masih lagi tinggal di asrama yang sama, tukang masak dan tauke kantin/dewan makan yang sama tetapi guru asrama dah bertukar orang. Kali ini giliran cikgu Naina Mohamad mengambil alih tempat cikgu Anuar. Cikgu Naina ni berkahwin dengan orang kampung aku iatu Mak Tih Hasnah anak Tok Teh Dolah.


Cikgu Naina pula terlalu baik orangnya. Jarang sangat aku nampak dia marah-marah pada penghuni asrama. Bila dah baik, mamak kantin pula naik tocang maka hari-hari kami minum la teh susu ceroi. Nak komplin!!! takut Mak Cik Pora marah... Kalau kebetulan Cikgu Naina datang kantin buat pemeriksaan mengejut disuruhnya tambah susu.


Di asrama SM Serdang ni, menu hari Jumaat tengahari yang paling aku minat iaitu daging masak sambal dan sup bebola ikan... sedaaaap nak habaq bagi... Memang makan banyak punya hari tu. Lepas tu berjalan kaki pi sembahyang Jumaat kat Masjid Pekan Serdang sejauh 3 km lebih.


Lepas sembahyang Jumaat, acara bebas di Pekan Serdang ...

Khamis, 14 April 2011

Asrama ku

Awal tahun 1978 aku mula menjejak kaki ke Asrama Sek. Men. Serdang, Kedah (Nama sekarang SMK Serdang, Kedah). Pesanan dari emak kepada aku sebelum bertolak ke asrama " Lan, hang duduk di sana kawan dengan orang yang baik-baik dan jangan kawan dengan orang yang tak senonoh". Pesanan itu aku ingat sampai kehari ini.

Waktu itu aku rasa diri ini terlalu kecil sebab abang-abang yang tingkatan lima memang berbadan besar. Apatah lagi mereka itu adalah pengawas asrama. Pelajar-pelajar baru semua takut pada mereka tapi mereka semuanya baik-baik belaka. Di antara nama yang masih aku ingat ialah Pak Don, Pak Nan dan Ustaz (nama tak ingat). Bilik mereka berasingan dengan bilik kami.

Satu pagi pada hari Jumaat (cuti) aku dan ramai lagi penghuni asrama bangun lewat dan tidak solat subuh. Kebetulan pagi itu pengawas buat pemeriksaan mengejut maka ramai yang kantoi termasuk aku. Semua penghuni dipanggil berhimpun dan membuat pengakuan ikhlas "Siapa yang tidak solat subuh diminta ke depan, jangan tipu, kami dah tahu semua " kata salah seorang pengawas. Aku dengan rasa takut terus ke depan bersama kawan-kawan yang tak solat subuh. Maka kami didenda membersih tandas pada pagi tersebut.

Pada masa itu guru asrama adalah Cikgu Anuar. Semua penghuni asrama takut padanya. Dikhabarkan bahawa setiap pelajaran yang diambil dalam peperiksaan penggal mesti lulus, kalau tidak, satu pelajaran tak lulus sekali penampar sampai kemuka. Tapi tahun aku mula masuk asrama isteri Cikgu Anuar sakit dan dia kurang mengambil perhatian kepada kami semua.

Garangnya Cikgu Anuar kalau hampa nak tau, pada satu pagi dia datang buat pemeriksaan mengejut di dewan makan, dilihatnya air teh susu terlalu ceroi (kurang susu) disuruhnya mamak kantin tu buang teh tu dan buat balik yang baru yang betul-betul kaw... Pagi tu, sedap la kami minum air. Sebelum ni kami komplen mamak buat tak tau saja dan kena marah lagi dengan Mak Cik Pora.

Dah la dulu untuk kali ini, lenguh dah jari duk mematuk keyboard. Nanti aku sambung lagi...

Isnin, 11 April 2011

Gambar kenangan

Gambar ini diambil pada tahun 1979. Waktu itu aku baru tingkatan 2 di Sek. Men. Serdang, Kedah. Aku tinggal di Asrama Sek. Men. Serdang bermula dari tahun 1978 hingga 1982. Sebulan sekali semua penghuni asrama dibenarkan pulang ke kampung masing-masing. Di kesempatan ini aku mengambil peluang bersama sepupu aku iaitu Hasbullah (Awang) untuk bergambar di serata kampung.

Gambar ini diambil di tandop atau kunci air Kampung Sg. Tengas yang baru dibina untuk membekalkan air ke sawah padi di Kg. Sg. Tengas Masjid dan Kg. Sg. Tengas Hilir. Seperti yang aku ceritakan sebelum ini, setelah siap tandop ini dibina maka padi yang ditanam tidak menjadi seperti dulu-dulu. Sebabnya Allah sahaja yang mengetahui.

Di tandop ini juga tempat aku dan kawan-kawan mandi dan berenang apabila cuti balik kampung (istilah sekarang outing). Pada hal kawasan ini merupakan kawasan larangan kerana merbahaya terutama kepada kanak-kanak.

Gambar di sebelah ini adalah Nordin (duduk di atas), aku (belakang), Hasbullah @ Awang (sebelah aku), Che Ghazali (depan aku) dan Adnan (sebelah Che Ghazali merangkap adiknya).



Sabtu, 2 April 2011

Kampung ku

Kampung ku bernama Kampung Sungai Tengas. Di dalam daerah Bandar Baharu, Kedah Selatan. Pekan terdekat adalah Pekan Selama Kedah yang mana masa aku bebudak dulu dikenali dengan nama Pekan Pajak. Jarak dari kampung ke pekan Selama Kedah lebih kurang 4 batu (kiraan dulu-dulu).

Di kampung ku ada sebuah sekolah iaitu Sek. Keb. Sungai Tengas. Di sinilah aku bersekolah dari darjah satu hingga darjah 6. Sekolah ini juga menampung pelajar dari 4 buah kampung termasuk kampung ku iaitu Kg. Sg. Tengas Masjid (kampung ku), Kg. Sg. Tengas Ulu, Kg. Sg. Tengas Hilir dan Kg. Sg. Buluh.

Sekitar awal 70'an ke bawah kampung Sg. Tengas merupakan kawasan hitam sebab berhampiran dengan gunung yang paling muda di dunia iaitu Gunung Bungsu. Pada ketika itu kampung ku selalu dikunjungi oleh angkatan tentera dan berkhemah di tepi-tepi kampung.

Al-kisah pada tahun 1970 atau 1971, aku bersama Hassan Tok Siak dan Bukhori anak Pak Long Mansor telah memasuki hutan kecil di pinggiran kampung untuk mencari buah lemba. Kalau hampa nak tau, buah lemba ni memang manis. Selepas memakannya, minum air biasa pun rasa manis. Itulah kelebihannya. Nak dijadikan cerita suatu hari kami terjumpa sekumpulan orang yang bersenjata senapang dan memakai baju biasa. Kami tak tahu pun siapa mereka itu. Apabila mereka ternampak kami lalu memanggil dan minta tolong membeli sesuatu. Apa lagi... cabuttttttt tanpa menoleh kebelakang sedikit pun. Sesampainya aku di rumah, aku diam dan menggigil lalu ditegur oleh emak, pasai pa tu!!!. Aku tak jawab sepatah pun. Esok pagi selepas bangun tidur, aku pun bercerita pada mak dan ayah mengenai apa yang aku jumpa. Rupa-rupanya mereka itu adalah komunis. Selepas peristiwa itu kami bertiga tidak lagi merayau-rayau untuk mencari buah lemba.

Hasil pertanian kampung ku ketika itu adalah getah dan padi tetapi selepas parit tali air yang baru dibina oleh kerajaan siap, padi pula tak mahu tumbuh dengan baik. Maka sekarang ini hasil kampung ku hanya getah sahaja.

Dah la nu!!! cerita pasai kampung ku. Nanti hampa boring pulak. Aku buat cerita ni pun sebab kawan lama aku (Saidin Yahya) suruh sangat buat cerita dulu-dulu.

Di sebelah kanan ni adalah kawan lama aku, Din Pak Ya


Salam pengenalan

Di atas permintaan sahabat lama, dengan ini aku mulakan blog ini dengan kalimah BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.